Janji Calon Baru BN Pulau Pinang
| PULAU PINANG, 23 Feb (Bernama) -- Semua calon
baru Barisan Nasional (BN) dari Umno yang bertanding di Pulau Pinang
berjanji akan meneruskan kesinambungan dalam aspek pembangunan yang
dilaksanakan pemimpin terdahulu sekiranya mereka terpilih. Mereka juga berjanji untuk memberikan penerangan terperinci dan jelas kepada rakyat berhubung isu-isu semasa, terutama mengenai isu berkaitan kenaikan harga barang. Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang dicalonkan bagi kerusi Parlimen Tasik Gelugor berkata keutamaan beliau sekarang ialah untuk memberi penjelasan terperinci berhubung isu kenaikan harga barang dan pemberian subsidi kepada rakyat. Beliau berkata pembangkang mungkin akan memanipulasikan isu itu sehingga menunjukkan seolah-olah kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kenaikan harga barang. "Isu ini akan dimainkan oleh pembangkang, saya akan beri penjelasan mengenainya menerusi ceramah-ceramah ketika berkempen nanti. "Semua calon perlu memberi penerangan dan penjelasan kepada rakyat mengenai perkara ini supaya mereka faham bahawa ini isu global, bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja," katanya selepas menghadiri majlis taklimat calon BN di sini. Nor Mohamed juga yakin bahawa pembangkang tidak akan membuat serangan peribadi memandangkan tiada isu yang boleh dikaitkan dengannya. Sementara itu Ketua Pemuda Umno Bahagian Bayan Baru Norman Zahalan yang dicalonkan bagi kerusi DUN Batu Maung berkata beliau akan meneruskan usaha pembangunan yang sudah dirancang di kawasan Batu Maung. Beliau berkata banyak projek yang sedang dalam pembinaan di kawasan itu, antaranya projek pembinaan jambatan kedua, monorel dan Lebuhraya Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR). "Saya akan pastikan masyarakat setempat turut merasai limpahan pembangunan yang dirancang oleh kerajaan jika saya diberi peluang," katanya. Sementara itu anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Norraesah Mohamed yang dicalonkan bertanding kerusi Parlimen Balik Pulau berjanji akan meneruskan kesinambungan pembangunan yang sedia ada di kawasan itu sebagaimana yang dilakukan oleh penyandangnya Datuk Seri Dr Hilmi Yahya. Ditanya mengenai strategi yang akan digunakan bagi menangani isu tempatan beliau berkata: "Rasanya isu tempatan tidak banyak, mungkin isu mengenai kenaikan harga barang akan dibangkitkan, dan saya akan berusaha memberi penerangan yang jelas mengenai perkara ini kepada penduduk tempatan,". -- BERNAMA |