:: Bilik Berita UMNO KB
Laman Utama > Bilik Berita > Januari 2008
 

 

Hajah Che Jam anak didik Datuk Haji Ahmad Badawi

 

JASA beliau tidak pernah dilupakan. Malah Perdana Menteri yang mengetahui beliau sakit dan tidak dapat turut serta dalam majlis membabitkan masyarakat di Kepala Batas baru-baru ini datang menziarahi beliau untuk bertanya khabar. Beliau yang dimaksudkan ialah Pengerusi Koperasi Wanita Kepala Batas. Datuk Hajah Che Jam Bt Harun, 69, yang juga bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kepala Batas.

Walaupun masih mampu menerajui Koperasi Wanita Kepala Batas, sejak terjatuh beberapa tahun lalu, beliau seringkali kurang sihat dan tidak dapat bergerak cergas sebagaimana  10 atau 20 tahun lalu. Ketika ditemui baru-baru ini, beliau yang lebih dikenali sebagai Ustazah Hajah Che Jam di kalangan murid-muridnya, berkata, wanita di zaman pentadbiran beliau bergerak dalam keadaan kesempitan wang. Setiap kali panggil mesyuarat, ketua terpaksa mengeluarkan wang belanja sendiri.

Bagaimanapun katanya, beliau bersyukur kerana setiap program yang diadakan, membabitkan jemputan atau kursus dan pelbagai aktiviti Wanita UMNO Malaysia mampu disertai sama oleh Wanita Kepala Batas, kalau tak ramai pun sekurang-kurangnya dapat menghantar wakil atau memenuhi korum. “Wanita zaman kami tiada wang. Mesyuarat pakai duit sendiri. Hanya mesyuarat agung yang dibiayai.

Dulu nak turun ke Kuala Lumpur juga guna duit sendiri. Masa tu hanya seorang dua yang ada kereta. Antara yang ada kereta pada masa tu, Ustazah Asma,” ujarnya yang mula memiliki kereta pada tahun 1980,  sambil menambah pendapatan guru ketika itu juga kecil. Tambahnya, untuk mendapatkan sedikit sumber kewangan, bagi menggerakkan jentera parti  Ahli Jawatan Kuasa Wanita Bahagian berpakat dengan Ahli Jawatan Kuasa Pemuda Bahagian dan Ahli Jawatan Kuasa UMNO Bahagian Kepala Batas, kesemuanya membabitkan 10 orang.

Mereka membuka sebuah restoran, Murni Restoran. Dengan masing-masing mengeluarkan modal antara RM1,000 hingga RM2,000, restoran yang terletak bersebelahan Bank Bumiputera, hanya mampu bertahan antara lima atau enam tahun. Ianya terpaksa ditutup kerana ketiadaan tukang masak. Sekali dua ianya dapat diatasi kerana Hajah Che Jam dan jawatankuasa lain memasaknya sendiri, tetapi berapa lama ia mampu bertahan. Mula aktif dalam parti, sejak zaman Datuk Haji Ahmad Badawi menjadi Ketua UMNO Bahagian lagi.

Ketika itu beliau menjadi Setiausaha Wanita UMNO bahagian. Pada  1999 menjadi Ketua Wanita UMNO Bahagian. Sebelum itu, beliau adalah Naib Ketua Wanita Bahagian. Pejabat Wanita UMNO Bahagian ketika itu beroperasi di Rumah Datuk Haji Ahmad Badawi, sebelum berpindah ke Rumah Sejarah pada hari ini. Sebelum lahirnya UMNO Bahagian Kepala Batas pada Mei 1973, ianya meliputi kawasan yang luas, UMNO Seberang Perai Utara.

Pada 1986, lahir UMNO Bahagian Tasek Gelugor. Tahun 2000 hingga 2005, beliau dilantik sebagai Senator. Sepanjang menjadi ahli Dewan Negara, beliau telah 15 kali menyertai persidangan di Parlimen. Sepanjang menjadi Senator, beliau telah membuat banyak `home work’ Dan beliau juga `turun padang’ ke jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan. “Kadang-kadang ke Jabatan Kebajikan Masyarakat. Cari betul masalah. Kenal pasti masalah mereka dan sebagainya supaya apabila kita bercakap, perkembangan terkini kita tahu,” ujarnya.

Mengimbas kembali penglibatan awalnya dengan UMNO, Hajah Che Jam tidak dapat melupakan Allahyarham Datuk Haji Ahmad Badawi, gurunya dalam politik. “Saya selalu mengikut Datuk Haji Ahmad Badawi dan Datuk Hajah Kailan mengadakan ceramah di merata-rata tempat,” ujarnya. Sejak penubuhan UMNO Bahagian Kepala Batas, antara pemimpin wanita yang pernah merasmikan Persidangan Wanita Bahagian berkenaan ialah Tan Sri Aishah Ghani, Datuk Seri Rafidah Aziz hinggalah apabila Datuk Seri Abdullah menjadi Perdana Menteri, kita jarang panggil orang lain.

Ketika belajar di DMW, beliau juga tidak lupa dengan Tuan Guru Haji Abdullah Fahim, ulama tidak asing di Nusantara yang juga datuk kepada Datuk Seri Abdullah. “Beliau sentiasa `menghidu’ sesuatu masalah yang akan menimpa, seperti bencana alam dan sebagainya. Beliau akan meminta pelajar berkumpul dalam dewan dan meminta mereka mengangkat kaki bersila atas bangku, kemudian membaca doa,” ujarnya.

 

 

 

 

 

| KEMBALI |