| |
Ibu bapa lebih minat hantar anak ke sekolah agama rakyat

KEBELAKANGAN ini semakin ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama rakyat atau bantuan kerajaan.
Pelajar juga nampaknya sudah berminat dengan sekolah agama. Demikian
pemerhatian yang dibuat Haji Adnan Taib, 65, Pengetua Sekolah Menengah
Daeratul Maarifil Wataniah II (DMW) Guar Perahu, Permatang Pauh, yang
juga merupakan cawangan kepada DMW di Kepala Batas.
Menurut beliau, minat dan kemahuan seseorang adalah terletak pada diri
sendiri dan ianya tidak boleh dipaksa. Sekiranya minat itu datang dari
hati yang ikhlas, beliau melahirkan penuh kesyukuran. Ini terbukti
ekoran bertambah ramai pelajar yang mendaftar di DMW sebaik sahaja
keputusan peperiksaan UPSR diumumkan. Sekolah berkenaan yang mempunyai
lebih 100 pelajar bagi sesi akan datang memerlukan dua lagi kelas
tambahan.
Haji Adnan yang lebih dikenali sebagai Ustaz Adnan juga adalah Ketua
UMNO Cawangan Permatang Tiga Ringgit. Beliau juga bekas guru agama
Sekolah Kebangsaan Taman Senangan, Telok Air Tawar, Pulau Pinang
ditawarkan secara kontrak menjadi pengetua sekolah berkenaan pada tahun
2005.
Sebelum itu beliau adalah Penolong Kanan sekolah berkenaan, manakala
guru besarnya adalah Datuk Muhammad bin Darus (pengerusi Biro Agama
UMNO Bahagian Kepala Batas). Menurut beliau, Daeratul Maarifil Wataniah
yang diasaskan oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Abdullah Fahim pada
tahun 1927, telah terhenti aliran bahasa Arab beberapa tahun iaitu 1970
kerana sebab-sebab tertentu.
Sekolah berkenaan kemudiannya memberi tumpuan kepada pelajaran akademik
dengan mengambil pelajar sekolah lain yang tercicir dan usaha tersebut
berjaya.
Sementara itu usaha terus dibuat agar DMW kembali semula ke peranan
asalnya sebagaimana zaman kegemilangannya di bawah Allahyarham Abdullah
Fahim atau Datuk Haji Ahmad Badawi. Antara yang terlibat membawa
kembali DMW ke asal ialah Ustaz Hashim Salleh (pengetua DMW di Kepala
Batas), Allahyarham Ustaz Ramli bin Md Zain dan Ustaz Adnan sendiri.
Antara 1986 dan 1987, usaha mereka berjaya.
“Bila nak tubuh DMW di Guar Perahu pada 1997, Ustaz Mohamad jadi
pengetua dan saya penolong kanannya hinggalah dilantik sebagai pengetua
tahun 2005,” ujarnya
DMW II di Guar Perahu, hanya mengambil pelajar lelaki untuk mengisi
kelasnya daripada tingkatan satu hingga lima. Bagi mereka yang akan
mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), DMW di Kepala Batas,
destinasi seterusnya. Haji Adnan yang juga Bendahari Koperasi Guru
Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang Berhad telah berkahwin dengan Siti
Aishah Ahmad, 54.
Mereka dikurniakan tiga anak iaitu Anisah, 32, Azmir, 30, dan Azmirah,
27 serta mempunyai dua cucu berusia tiga dan lima tahun. Beliau yang
juga Pengerusi JKKK Lahar Kepar, Jawatankuasa PERKIM Cawangan Kepala
Batas dan juga Imam Masjid Qariah Permatang Tinggi (A) berkata, dia
gembira dengan kesibukan tugas harian, baik kerja bergaji mahupun
sukarela.
“Kalau nak duduk di rumah semata-mata, saya jadi serba tak kena sebab
dan biasa penuh dengan pelbagai aktiviti,” ujarnya yang gembira kerana
isterinya yang sering ditinggalkan untuk mengikuti pelbagai kursus dan
seminar sentiasa ditemani oleh dua orang cucunya. “Pilihan raya pun dah
tak lama lagi” ujarnya sambil tersenyum penuh makna.
Walaupun kini demam pilihan raya telah mula dirasai dengan pelbagai isu
yang ditimbulkan pembangkang, ketua UMNO Cawangan berkenaan yakin BN
akan menang dengan majoriti yang besar walaupun tidak sebaik pilihan
raya lalu.
|
KEMBALI | |
|