:: Bilik Berita UMNO KB
Laman Utama > Bilik Berita > Januari 2008
 

Ternak lintah di Penaga beri hasil lumayan

 

 

SEBUT sahaja lintah tentu ianya dikaitkan dengan sejenis hidupan dalam sawah padi yang biasanya menghisap darah manusia. Dan menjeritlah anak-anak gadis apabila lintah yang hitam pekat menjalar ke kaki mereka atau menghisap darah mereka.  Lintah atau nama saintifiknya, hirudo medicanalis  terdapat pelbagai jenis, ada yang kecil dan ada yang besar. Paling ditakuti tentulah yang besar, apatah lagi ianya menghisap darah dengan jumlah yang lebih banyak. Lebih mengerikan bagi anak-anak gadis yang digigit haiwan ini darah yang mengalir sukar berhenti. Bagi pesawah padi mahupun mereka yang terlibat dengar kerja di bendang, lintah dilihat sebagai `musuh’ yang menggganggu ketenteraman mereka ketika sedang bekerja. Kalau dapat tangkap, mereka akan berusaha membunuhnya atau pun melemparnya jauh-jauh ke sawah jiran sebelah. Tetapi itu dulu. Lintah kini dilihat sebagai hidupan air tawar yang boleh mendatangkan hasil pendapatan lumayan. Minyak lintah dikaitkan dengan pembesaran alat seksual lelaki. Malah ianya juga boleh digunakan wanita untuk perubatan tradisional. Ianya dikatakan bagus untuk aliran darah. Lintah itu sendiri bertindak sebagai anti  darah beku.
 

Malah bekam mengguna lintah terbukti berkesan dalam mengeluarkan darah kotor. Apatah lagi jika diusahakan secara komersial dan mampu dipasarkan melepasi pasaran tempatan , dieksport ke Amerika Syarikat atau Jerman. Menyedari keberuntungan tersebut tidak hairanlah seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Institut Yayasan Bumiputera Pulau Pinang, Muhammad bin Mohd Ali, 39, sanggup melepaskan jawatannya untuk memberi tumpuan mengusahakan ternakan lintah di kawasan Dewan Undangan Penaga, parlimen Kepala Batas. Baginya hasrat Perdana Menteri yang mahu industri bioteknologi terus dimajukan harus disambut. Turut sama meletak jawatan, rakannya, yang juga Pengurus Akaun di institut berkenaan, Badrul Hisham Ramli, 40. Kedua mereka menubuhkan syarikat, Arowana Vision, yang pada peringkat awalnya menyediakan kaedah perubatan tradisional, termasuk melatih OKU (orang buta) melakukan urutan tradisional. 

Beliau yang kini memiliki 30,000 ekor lintah dijangka akan menghasilkan setengah juta ekor lintah yang berpotensi untuk dieksport ke luar negara dalam masa enam bulan. Katanya tidak sukar untuk mendapat pasaran luar negara kerana beberapa rakan yang berjaya, di Kuala Lumpur sanggup membantu beliau. Dan beliau juga boleh berhubung terus dengan pembekal di luar negara, tetapi yang pasti bekalan lintah haruslah mencukupi.

“Buat masa ini, nak bekalkan satu tan sebulan pun saya belum mampu,” ujarnya yang merancang membesarkan lagi perternakan mereka. Setakat ini Muhammad dan rakan kongsinya telah membelanjakan RM100,000 untuk menjayakan ladang ternakan berkenaan. Ini termasuk RM50,000 kos membeli 8,000 ekor induk lintah. Selebihnya kos membeli tong plastik bersaiz besar dan kerja-kerja pemasangan paip, termasuk proses menyedut air bawah tanah, bekalan oksigen, tapak ladang yang lengkap bumbung dan kos makanan lintah.

Lintah-lintah berkenaan dipelihara dalam tong, kaedah terbaru yang tidak banyak digunakan oleh pengusaha lain. Kebanyakan pengusaha lintah di negara ini menggunakan kaedah memelihara haiwan ini dalam kolam tanah. Haiwan tersebut boleh hidup dalam suhu antara 5 darjah Celsius hingga 26 darjah Celsius dengan PH air antara 5-8. Menurutnya, minat untuk memelihara lintah timbul apabila beliau sering melayari internet dan melihat haiwan tersebut bukan sahaja mempunyai pasaran di peringkat global, tetapi juga tahan lasak dan tidak mudah dihinggapi penyakit.

“Saya target usia 40 tahun nak buat bisnes sendiri. Kawan saya juga minat yang sama,” ujar Muhammad yang mengenali Badrul ketika sama-sama menuntut di ITM (UiTM) Arau, Perlis. Beliau memilih Diploma Pengurusan Ladang, manakala rakannya Diploma Perakaunan sebelum melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat Sarjana di Universiti Utara Malaysia (UUM). Bekalan untuk mendapatkan lintah juga tidaklah semudah yang disangka kerana kini lintah dalam sawah padi juga telah berkurangan dengan banyaknya ekoran penggunaan pelbagai jenis racun dalam bendang. Sebagaimana yang diketahui makanan bagi lintah adalah darah dan jentik-jentik. Pengusahanya membekalkan lintah berkenaan dengan belut. Sebuah daripada tong berkenaan dikhaskan untuk belut yang diperolehi bekalannya dari Kuala Ketil dan Bagan Serai. Belut-belut berkenaan diletakkan dalam sangkar kecil dan biasanya akan mati dalam masa 6 hingga 12 jam setelah darahnya habis disedut oleh lintah. Mereka juga turut menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, yang mana sanggup membeli lintah dengan harga lima puluh sen seekor. Sesiapa yang berminat menjual lintah kepada Muhamad bolehlah menghubungi beliau di talian 0194737766. Kawasan ternakan berkenaan yang terletak di atas tanah seluas kira-kira satu ekar berhampiran rumah orang tuanya, merupakan satu-satunya kawasan menternak lintah pertama di Kepala Batas dan dipercayai yang pertama di Pulau Pinang. “FDA Amerika Syarikat baru-baru ini telah meluluskan penggunaan lintah di hospital untuk surgeri. Harga seekor lintah di sana sekarang US7 dolar seekor, manakala harga lintah di Australia US200 dolar sekilogram,” ujarnya yang setiasa mengikuti perkembangan sains semasa melalui internet.

Harga mengikut pasaran tempatan ialah antara RM60 hingga RM70 sekilogram. Beliau mendapat khidmat nasihat daripada Universiti Malaysia Terengganu selain Art Soulist Sdn Bhd., pembeli bekalan lintah yang sekali gus memberi khidmat latihan kepadanya. Sebarang kemusykilan, mereka akan berhubung terus dengan pihak UMT melalui internet. Muhammad dan Badrul kini merancang mengeluarkan sendiri minyak lintah dan melibatkan diri dengan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Buat sementara mereka yang pakar dalam pembuatan berkenaan akan membantu dan sampelnya akan dihantar untuk ujian di makmal Universiti Sains Malaysia terlebih dahulu sebelum ianya dipasarkan. “Kami memang bercadang nak besarkan lagi perusahaan kami, tetapi nak buat pinjaman pun sukar. Banyak karenah birokrasi yang menjadi halangan,” ujarnya yang tidak mudah mengenal erti kecewa.
 

 

| KEMBALI |