:: Bilik Berita UMNO KB
Laman Utama > Bilik Berita > Januari 2008
 

 

Kerajaan Beri Perhatian Kepada Semua Kaum

 

 

Datuk Seri Abdullah dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, tertarik
dengan hasil kreatif pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Muda

 

 

PERDANA Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengadakan lawatan kerja ke kawasan parlimen beliau mempunyai atur cara yang begitu padat. Awal pagi, sebaik sahaja tiba dari Kuala Lumpur, beliau mempengerusikan mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri di sebuah hotel terkemuka di Pulau Pinang.Atur cara di Kepala Batas bermula jam 3 petang, dengan beliau menyempurnakan majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 Sekolah-Sekolah Kawasan Parlimen Kepala Batas. Program yang diadakan di Dewan Millenium, anjuran bersama Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, Pusat Khidmat Parlimen Kepala Batas dan Putera UMNO Malaysia.

Dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Datuk Seri Abdullah menegaskan kerajaan sentiasa memberi perhatian sama rata kepada semua kaum dalam bidang pendidikan untuk membolehkan mereka memberi sumbangan yang berguna kepada negara. Perdana Menteri berkata, ini kerana pelajaran amat penting bagi memastikan semua kaum hidup lebih selesa dan dapat merebut peluang yang terbuka luas untuk mencari pekerjaan manakala golongan miskin pula mampu keluar daripada belenggu kemiskinan.“Kita beri perhatian yang sama kepada pelajar tanpa mengira kaum kerana pelajaran penting untuk Malaysia, penting untuk anak-anak Malaysia , bangsa Malatysia dan kita harap mereka menjadi pelajar yang berjaya,” ujarnya.Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Ab-dullah. Pada majlis tersebut, Putera UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Aziz Abdul Rahim, menyumbangkan 1,000 buah basikal kepada 400 murid yang mendapat keputusan cemerlang 5A dan 600 murid daripada golongan yang kurang berkemampuan yang terdiri dari berbilang kaum.

Murid-murid tersebut juga diberikan wang tunai di antara RM50 dan RM100, beg dan barangan keperluan sekolah bagi menghargai kejayaan mereka dalam peperiksaan itu. Abdullah berkata, peluang menuntut ilmu yang terbuka luas untuk setiap lapisan masyarakat adalah penting kerana pelajaran dapat memastikan taraf hidup rakyat ditingkatkan sekaligus membasmi kemiskinan.

“Modal insan perlu dipastikan bermutu tinggi, itulah caranya unjtuk memastikan anak-anak mendapat kelulusan yang baik dan pekerjaan yang elok,” tegasnya. Sehubungan dengan itu Perdana Menteri mahu ibu bapa sentiasa menasihatkan anak-anak supaya belajar bersungguh-sungguh untuk meraih pencapaian cemerlang dalam setiap peperiksaan daripada peringkat sekolah rendah, menengah sehingga ke universiti.

Menurutnya, selain bidang pelajaran, kerajaan juga sentiasa memngambil berat terhadap usaha membantu golongan miskin menerusi pelbagai bentuk bantuan tanpa mengira latar belakang. Dalam hal ini, Abdullah bangga dengan pencapaian pelajar luar bandar yang semakin meningkat dan setanding dengan rakan mereka di bandar berikutan kemudahan pembelajaran dan komitmen guru.

Bagaimanapun beliau menegur sekolah-sekolah yang masih gagal memastikan kesemua calon UPSR lulus dalam semua mata pelajaran sehinggakan masih ada pelajar yang gagal dalam peperiksaan itu. Justeru, katanya, guru-guru perlu memberikan perhatian serius terhadap masalah itu supaya pelajar yang menduduki peperiksaan UPSR tahun depan lulus dalam semua mata pelajaran.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mencadangkan supaya sekolah yang mendapat kelulusan 100 peratus diberi insentif sebagai galakan untuk kejayaan yang berterusan  dan dijadikan contoh kepada sekolah lain. Katanya, sebagai contoh, di kawasan parlimen Kepala Batas, terdapat 1,884 calon UPSR tahun 2007 namun hanya 1,492 calon yang lulus semua mata pelajaran.


 

| KEMBALI |