| |
Eratkan pelajar dengan penduduk Kepala Batas
BAHAGIAN
Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia baru-baru ini mengadakan
Program Matrikulasi Bersama Masyarakat Peringkat Kebangsaan kali kedua
membabitkan ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen
Kepala Batas.
Program berkenaan diadakan selama enam hari bermula 10 November 2007
disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. Tun Dr Haji Abdul
Rahman Abbas dan disempurnakan majlis penutupannya oleh ADUN Pinang
Tunggal, Datuk Haji Roslan Saidin pada 16 November, 2007.
Ianya merupakan aktiviti kali kedua selepas program yang sama
dilaksanakan pada 2 hingga 9 November 2006 dengan kerjasama kerajaan
Negeri Kedah di kawasan Mukin Bagan Samak, DUN Bandar Baru, Kedah.
Ianya melibatkan 15 kampung di tiga DUN iaitu DUN Pinang Tunggal,
Bertam dan Penaga. Antara kampung yang terpilih dalam KADUN Pinang
Tunggal ialah Kampung Pinang Tunggal, Kampung Lahar Tiang, Kampung
Permatang Saga, Kampung Padang Beka, Permatang Langsat dan Kampung
Setol.
Kampung-kampung yang terbabit dalam zon Bertam pula ialah Kampung
Permatang Kuang, Permatang Sintok dan Permatang Tok Loba. Manakala
kampung dari DUN Penaga pula ialah Kampung Lahar Kepar, Kampung Padang,
Kampung Lahar Ikan Mati dan Kampung Permatang Tinggi.
Pengarah Bahagian Matrikulasi Kementerian berkenaan, Prof. Datuk Dr
Zainal Abidin Ahmad berkata, Bahagian Matrikulasi beruntung kerana
usaha pendidikan yang dijalankannya memantapkan lagi
pengalaman-pengalaman yang disediakan oleh masyarakat setempat untuk
pelajar-pelajar matrikulasi yang terlibat.
Di sebelah yang satu lagi, pihak
masyarakat setempat pula disediakan dengan beberapa sumbangan dari
pelajar program Matrikulasi yang berupa Ceramah Motivasi, Latihan
Dalam Kumpulan dan Ceramah Program Matrikulasi bagi kesemua 1104
pelajar-pelajar Tingkatan empat dari semua sekolah menengah dalam
kawasan parlimen Kepala Batas. Katanya, bagi ibu bapa pula dianjurkan
ceramah Keibubpaan dan Kecemerlangan anak yang disampaikan oleh Prof.
Madya Dr. Fadzil Che Din. Dari sudut keagamaan pula dianjurkan Forum
Perdana yang ahli panelnya terdiri dari tokoh-tokoh Forum Perdana yang
terkenal di seluruh negara.
Di peringkat kampung yang berkenaan pula diadakan gotong-royong,
sukaneka dan kenduri kampung. “Diharap ianya akan membina silaturrahim
antara Program Matrikulasi dengan masyarakat am seluruhnya kerana
walaupun sekali ini aktivitinya tertumpu di kawasan parlimen Kepala
Batas. Bagi pihak program Matrikulasi, kami merasakan usaha ini penting
bagi mewujudkan kefahaman di kalangan masyarakat tentang peranan dan
fungsi Program Matrikulasi dalam strategi pengisian kemerdekaan negara.
Kami berusaha memperkenalkan supaya apabila kenal maka boleh timbul
cinta untuk kepentingan negara. Kami sebenarnya kagum dengan
komitmen yang diberikan oleh masyarakat Parlimen Kepala Batas bagi
memenuhi aturcara yang dirancang,” tambahnya. Sementara itu ADUN Pinang
Tunggal, Datuk Haji Roslan Saidin ketika menyempurnakan Sukaneka
Bersama Masyarakat DUN Pinang Tunggal sehari sebelum majlis penutupan,
berharap pelajar terlibat bukan sahaja dapat menghayati budaya
kehidupan masyarakat tempatan, tetapi mereka juga dapat membawa pulang
atau menyampaikan berita yang baik tentang apa yang berlaku di kawasan
parlimen Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, pembangunan di Kepala Batas berkembang dengan begitu pesat.
Ini termasuklah beberapa projek yang sedang dan akan dibina di dalam
KADUN beliau sendiri. Antaranya balai bomba udara dan beberapa
institusi pendidikan seperti MRSM, ILP dan sebagainya. Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian
Kepala Batas, Datuk Haji Abu Bakar Yahaya, berkata, program berkenaan
bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silatulrahim antara pihak
Matrikulasi, pelajar dengan masyarakat tempatan, tetapi ianya mampu
menjana minda anak-anak tempatan yang turut mendapat bimbingan pelajar
yang menjadi abang atau kakak angkat mereka.
Beliau yang juga Ketua UMNO Cawangan Lahar Kepar, yang mana salah satu
cawangannya terbabit sebagai lokasi program berkenaan menambah, program
berkenaan mendapat kerjasama yang cukup baik daripada masyarakat
tempatan. “Sepanjang mereka bersama keluarga angkat, mereka terlibat
dalam pelbagai aktiviti harian yang dilakukan oleh keluarga angkat
mereka. Ini memberi pengalaman baru kepada mereka yang datangnya
daripada pelbagai negeri dan mengamalkan pelbagai budaya. Dan kami
harap hubungan dengan keluarga angkat akan berterusan walaupun mereka
telah meninggalkan alam pengajian dan sudah bekerja,” ujar beliau.
Sementara itu seorang pelajar Matrikulasi, Mohd Fahmi Jasni, 18, dari
Rawang, Selangor, berkata, dengan mengikuti program berkenaan, dia
dapati banyak perbezaan yang terdapat antara penduduk kampung dan
bandar. “Pengalaman ini saya rasa amat bermakna. Ianya juga dapat
mengeratkan hubungan silatul rahim antara pelajar dengan keluarga
angkat.
Dan bagi kami yang belajar di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang tidaklah
sukar untuk datang menjengok keluarga angkat atau keluarga datang ke
tempat kami sekiranya ada kesempatan,”ujar pelajar tahun satu
Matrikulasi itu lagi.
|
KEMBALI | |
|