| :: Bilik Berita UMNO KB |
| Laman Utama > Bilik Berita > Febuari 2008 |
| Jangan Persiakan Kemudahan Pendidikan
(Foto Bernama)
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan rakyat supaya tidak mempersia-siakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan terutama yang berkaitan dengan pendidikan. Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa memberikan perhatian untuk membangunkan sistem pendidikan yang bermutu termasuk menyediakan segala kemudahan seperti bantuan pakaian, makanan dan buku teks. ‘‘Selepas merdeka, kerajaan memberi perhatian untuk membangunkan sistem pendidikan yang bermutu kepada anak-anak dan inilah yang menjadi Dasar Razak,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan Biasiswa Sekolah-sekolah Dalam Parlimen Kepala Batas di sini hari ini. Sebanyak RM1.2 juta dibelanjakan oleh Kementerian Pelajaran untuk sekolah-sekolah di kawasan Parlimen Kepala Batas pada tahun lalu dan pada tahun ini. Jumlah yang diperuntukkan oleh kementerian tersebut ialah RM1.4 juta. Dalam ucapannya juga, Perdana Menteri menyeru guru, ibu bapa, murid dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya memainkan peranan yang penting untuk meningkatkan prestasi pembelajaran anak-anak. Menurutnya, sekolah yang sentiasa cemerlang kebiasaannya adalah sekolah yang menitik berat hubungan antara guru, PIBG dan ibu bapa dengan mengamalkan semangat tolong-menolong. Abdullah turut menyatakan bahawa dasar kerajaan adalah untuk melahirkan lebih ramai generasi berilmu bagi membantu membangunkan Malaysia. Salah satu usaha ke arah tersebut katanya, dengan membolehkan lebih ramai pelajar cemerlang mendapat pendidikan melalui langkah memansuhkan yuran persekolahan dan peperiksaan bermula tahun ini. “Kita tidak mahu lagi mendengar masalah pelajar tercicir, kalau boleh habiskan sekolah sekurang-kurangnya sampai tingkatan lima. “Antara sebab pelajar berhenti sekolah ialah keluarga tidak mampu untuk menyara anak-anak, jadi kita tidak mahu lagi perkara ini berlaku. Kita mahu mereka belajar bersungguh-sungguh,” katanya. Sementara itu, ketika berucap pada majlis Tahun Baru Cina di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mah Hua, di Kampung Selamat di sini malam ini, Abdullah menasihatkan ibu bapa supaya mendidik anak-anak mereka agar bergaul dan belajar menghormati kaum lain di sekolah. Menurut Perdana Menteri, ini kerana semua kaum adalah rakyat Malaysia maka anak-anak perlu diajar untuk memahami antara satu sama lain. ‘‘Kita kena jaga anak-anak, besar jadi kawan bukan jadi lawan, nanti negara tidak senang menyebabkan ekonomi tidak baik. ‘‘Apabila semua hidup dengan baik, maka tidak ada kacau dan gangguan supaya negara ini selamat dan berjaya,” katanya.
|