:: Bilik Berita UMNO KB
Laman Utama > Bilik Berita > Disember 2007
   

Kepala Batas anjur tilawah 4B Kebangsaan

 

AHMAD Tarmizi bin Abdul Rahman dari Terengganu muncul sebagai johan qari dan Munirah Bt Razali dari Perak muncul sebagai johan qariah Tilawah al-Quran Gerakan Belia 4B Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Masjid Jamiul Badawi, Kepala Batas dekat sini baru-baru ini.

Tempat kedua qari dimenangi oleh Ismail Romli dari Perlis, manakala tempat ketiga disandang oleh Ahmad Ramadhan dari Perak. Sementara tempat kedua qariah pula disandang oleh Nur Faezah Babnut dari Selangor. Tempat ketiga dimenangi oleh Nur Azura Abu Talib dari Pahang. Sebanyak 7 qari dan 8 qariah mengambil bahagian dalam tilawah kali ini. Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Hj Abdul Rahman Abbas.

Hadir sama Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Program berkenaan yang diadakan sempena Majlis Berbuka Puasa dan Nuzul al-Quran anjuran bersama Masjid Berkembar, Masjid Jamiul Badawi dan Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dalam ucapannya, Pengerusi Masjid Jame’ Jamiul Badawi, Datuk Arshad Zakaria berkata, program berkenaan telah dijadikan acara tahunan sejak Allahyarham Datuk Haji Ahmad Badawi (bapa Perdana Menteri) lagi. Dan Datuk Seri Abdullah pula mahukan ianya diteruskan.

Sementara itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dalam ucapannya berjanji akan merealisasikan hasrat Perdana Menteri yang mencadangkan Rukun Tetangga dihidupkan semula dan mahu 4B terlibat secara langsung. Datuk Seri Ali Rustam juga bersetuju menerima pelawaan Pengerusi Masjid Kg Baru, Datuk Aziz Jamaluddin, menjadikan Masjid al Azim di Melaka sebagai satu lagi masjid berkembar.

 

 

| KEMBALI |