| |
Kepala Batas lahirkan 315 pelajar 5A
PENGERUSI
Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas, Hamdan
Hashim, berkata, seramai 315 pelajar di parlimen berkenaan mendapat 5A,
empat darinya, antara pelajar terbaik di seluruh Pulau Pinang.
Seramai 17 pelajar UPSR mencatat kejayaan cemerlang di negeri itu.
Sehubungan dengan itu satu majlis penganugerahan kepada para pelajar
cemerlang UPSR akan diadakan di kawasan parlimen berkenaan. Menurut
beliau lagi, ianya adalah program tahunan yang dibuat dan Perdana
Menteri yang juga ahli parlimen Kepala Batas akan menyempurnakan majlis
berkenaan serta menyampaikan hadiah dan sijil.
Pada kali ini ianya akan membabitkan sama pelajar dari SJKC dan SJK(T).
Empat dari pelajar cemerlang berkenaan datang dari empat buah sekolah
iaitu Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu, Sekolah Kebangsaan Bertam Indah,
Sekolah Kebangsaan Paya Keladi dan Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal.
Pelajar yang mendapat 5A akan menerima hadiah sebuah basikal, wang
tunai serta sijil, manakala pelajar yang mendapat 4A 1B akan menerima
wang tunai dan sijil.
Sejumlah 135 buah basikal akan disumbangkan oleh Pengerusi Putera UMNO
Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. Sementara itu Sekolah
Kebangsaan Bertam Indah sekali lagi muncul sebagai sekolah terbaik di
parlimen Kepala Batas apabila seramai 45 muridnya mendapat 5A. Ini
adalah tahun ketiga berturut-turut sekolah berkenaan meraih kejayaan
besar. Guru besarnya, Hajah Norjah bt Jamaluddin berkata, kejayaan
sekolah berkenaan adalah hasil daripada pelbagai program yang mantap.
Pelbagai program yang dirancang dilaksanakan secara bersungguh-sungguh.
“Kita mempunyai pelan strategi. Setiap kali ujian, tengok soalan mana
yang budak salah. Semua yang kami lakukan mendapat sokongan daripada
Jabatan Pelajaran Negeri juga Pejabat Pelajaran Daerah (Utara dan
Tengah),” ujarnya sambil menambah sering kali mengadakan perbincangan
dengan pihak berkenaan.
Di samping itu, Hajah Norjah berkata, perbincangan juga dilakukan
dengan guru-guru dua minggu sekali atau sebulan sekali. Jika terdapat
kelemahan pelajar, ianya akan dimaklumkan kepada keluarga mereka. “PIBG
dan ibu bapa memberi kerjasama yang sungguh baik. Begitu juga dengan
pelajar. Motivasi ditekankan kepada mereka dan sekolah mahu prestasi
terus dikekalkan.
Kami mahu Sekolah Kebangsaan Bertam Indah di kawasan parlimen Perdana
Menteri, terus mendahului sekolah lain, dan Alhamdulillah sudah tiga
tahun berturut-turut kami mendapatnya,” ujarnya lagi. Tambahnya sekolah
berkenaan yang menjadi `anak angkat’ TNB juga mendapat sentuhan yang
berkesan daripada GLC itu, membolehkan lebih banyak program
dilaksanakan. Begitu juga dengan pihak PERDA dan Pergerakan Pemuda UMNO
Bahagian Kepala Batas. “Pemuda buat program kelas motivasi yang dah
berjalan sekarang. Ianya membabitkan 80 pelajar dari dua buah
buah kelas cemerlang,” ujarnya. Sementara itu salah seorang dari
pelajar Sekolah Kebangsaan Bertam Indah yang mendapat 5A, Mohd
Amirul Hakim bin Mohamad, 12, berkata dia belajar secara berkumpulan di
sekolah. Di samping mengikuti kelas tuisyen di Pusat Tusyen PUJI, pusat
tuisyen yang memang tidak asing lagi di Kepala Batas, dia juga sentiasa
melayari bank soalan internet yang dilanggan.
“Ayah suruh saya banyak membaca dan kurang bermain. Balik sahaja
daripada tuisyen, bersama rakan-rakan, saya terus menyiapkan kerja
sekolah,” ujarnya yang biasa keluar bermain hanya sekadar mengeluarkan
peluh. Aktif dalam Persatuan Bulan Sabit Merah dan Kelab Kewangan,
Amirul bercita-cita menjadi doktor. Menurut ibunya, Salmi bt Abdullah,
39, Penolong Akauntan di Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang, Amirul
melihat kegigihan ayahnya yang juga kuat belajar untuk menyiapkan tesis
Sarjananya. Suaminya , Mohamad bin Jamaluddin kini bertugas sebagai
Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Majlis Agama Islam Selangor.
Sara Ismi bt Azmi, 12, berkata, strategi yang dilakukan oleh pihak
sekolah dengan pelbagai program yang ada antara faktor kejayaannya di
samping kesungguhan belajar, pelajar berkenaan sendiri yang juga
mendapat sentuhan bersungguh-sungguh dari ibu. Sara anak bongsu
daripada tiga beradik dan bercita-cita menjadi doktor kanak-kanak
itu sentiasa akur dengan nasihat daripada ibu juga ayahnya di
samping sentiasa berbincang dengan guru-guru dan rakan. Menurut ibunya,
Rushita bt Ismail, 43, pensyarah Bahasa Inggeris di UiTM, Permatang
Pauh, beliau selalu memberi nasihat kepada anak-anaknya dengan
menekankan bahawa mereka mesti menjadi seorang yang berguna.
Caranya, mereka kena belajar dengan betul, dengan teknik yang tepat.
“Saya sentiasa memberi dorongan. Saya mahu anak saya bukan sahaja
menguasai bahasa ketiga, tetapi juga bahasa keempat. Sekarang saya
sedang mencari kelas yang sesuai untuk dia belajar bahasa Mandarin,”
ujarnya sambil menambah anaknya juga digalakkan bermain piano.
Anak sulung Rushita, Mohd Afif Syazwi, 21, sedang menuntut di UiTM
jurusan Komunikasi Massa dan anak kedua Mohd Akif Hefiy, 17, baru tamat
SPM. Sementara itu seorang lagi pelajar Sekolah Kebangsaan Bertam
Indah, Mohd Zawawi bin Mohd Akhir, 12, berkata dia juga belajar
bersungguh-sungguh dan memberi fokus terhadap apa yang diajar oleh
guru-guru di samping belajar secara berkumpulan.
Bapanya, Mohd Akhir bin Ghazali, 48, Penyelia Kurikulum di Jabatan
Pelajaran Negeri Pulau Pinang yakin antara faktor kejayaan anaknya
adalah kerajinan guru-guru sentiasa bersedia berkorban untuk pelajar di
samping penekanan yang turut diberikan oleh beliau dan isterinya, yang
juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan Lahar Kepar.
|
KEMBALI | |
|