:: Bilik Berita UMNO KB
Laman Utama > Bilik Berita > Disember 2007
   

Dengarlah nasihat Perdana Menteri

 

NAIB Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Haji Roslan Saidin menyeru rakyat negara ini dari pelbagai kaum agar mendengar nasihat dan pandangan serta buah fikiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sehubungan dengan itu mereka diseru agar jangan melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan mudarat kepada negara, malah sebaliknya sama-sama mengekalkan suasana harmoni antara kaum yang sedia ada. Beliau mengingatkan mereka agar jangan mendengar hasutan orang lain, baik hasutan dari rakyat negara ini mahupun yang mana orang lain sentiasa mengambil kesempatan untuk `menangguk di air keruh’.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Berkhatan Beramai-Ramai penduduk Kampung Permatang Tinggi C, dekat sini baru-baru ini. Beliau mengulas mengenai pelbagai tindakan negatif segelintir kaum India yang menggelarkan diri mereka Hindraf, yang berdemonstrasi di jalanan.

Katanya kepimpinan hari ini telah mengambil alih pentadbiran negara dan seterusnya mentadbir negara dengan baik daripada pemimpin terdahulu. Dan mereka sudah mengatur perjalanan pentadbiran negara dengan baik dan adil membabitkan semua kaum. Beliau mahu setiap rakyat mengambil kesempatan yang ada dengan bekerja bersungguh-sungguh dan sentiasa bekerja kuat untuk maju.

Dan kejayaan sudah terbukti. Pelbagai bangsa, Melayu, Cina, India dan lain-lain. Beliau mengingatkan semua pihak tidak kira kaum, janganlah sekali menggugat ketenteraman negara. Pembangunan yang kita nikmati hari ini adalah nikmat yang kita kecapi selepas 50 tahun merdeka.

 

| KEMBALI |