:: Bilik Berita UMNO KB
Laman Utama > Bilik Berita > Disember 2007
   

BTN Bantu lahirkan pemimpin pelajar di Kepala Batas

 

GOLONGAN pelajar diingatkan agar mereka menjadi anak-anak yang bertanggungjawab, menghormati ibu-bapa dan menjadi anak yang soleh dan solehah di samping menggunakan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang mereka perolehi secara positif untuk kebaikan individidu, keluarga, masyarakat dan negara.

Mereka yang mempunyai ibu bapa harus bersyukur kerana masih ada ibu dan ayah serta  berada dalam keberuntungan kerana mereka dicorak mengikut ciri-ciri kehidupan Islam. Ini tidak berlaku sebagaimana di negara barat, yang mana seorang anak menjadi rebutan kepada lebih daripada seorang `bapa’.

Anggota Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ramli Zahari, berkata, bagaimanapun adalah malang bagi anak-anak yang mempunyai ayah dan ibu tetapi mereka tidak menjadi anak yang soleh, lebih malang lagi jika anak-anak itu menderhaka kepada kedua orang tuanya. Beliau yang mewakili Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Hj Othman Desa berkata demikian ketika merasmikan program Kursus Bina Negara (Asas) Pemimpin Pelajar dan Pelajar Pra-U anjuran Biro Tatanegara (BTN), Jabatan Perdana Menteri Cawangan Pulau Pinang,  Pusat Khidmat Parlimen Kepala Batas, Biro Basmi Dadah, Putera UMNO dan Biro Kebajikan UMNO Bahagian Kepala Batas.

Seramai 113 pelajar sekolah menengah seluruh parlimen Kepala Batas yang terdiri dari tingkatan tiga, empat dan enam rendah terpilih mengikuti program berkenaan yang diadakan di Kem BTN Ulu Kenas, Kuala Kangsar. Ramli  menganggap pelajar yang terpilih mengikuti program berkenaan beruntung kerana mereka mendapat pendedahan serta ilmu juga mengetahui isu-isu semasa yang berlaku di sekeliling mereka.

Dalam masa masa yang sama, beliau menekankan pentingnya pelajar mempunyai disiplin tinggi untuk mereka terus maju selaras dengan wawasan negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau mahu pelajar di Kepala Batas, kawasan parlimen Perdana Menteri menunjukkan contoh terbaik dalam apa juga bidang yang mereka ceburi,  menekankan pentingnya pelajar dalam memilih kawan kerana kawan juga turut memainkan peranan dan boleh  mempengaruhi mereka jika tersalah pilih.

“Daripada kawan dengan penagih dadah lebih baik anak-anak tak ada kawan,” ujarnya sambil mengingatkan mereka agar jangan cuai. Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pengarah Biro Tatanegara (BTN) Pulau Pinang, Mohamad Puzi Haji Hassan, timbalan beliau,  Mohd Hasri bin Mohd Hadzir, Pengarah BTN Perak, Mohd Shamlan bin Zabaai dan Pengerusi Basmi Dadah UMNO Bahagian Kepala Batas, Abdul Safar Abdul Rahman.

Sementara itu, ketika ditemui selepas majlis berkenaan, Datuk Ramli yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri berkata, program berkenaan adalah satu usaha BTN yang cukup baik ke arah melahirkan generasi pemimpin akan datang yang menekan jati diri serta disiplin tinggi pelajar.

“Ianya satu program pembinaan jati diri yang komprehensif. BTN mempunyai prasarana yang hebat, jadi kita guna BTN sebaik mungkin. Mereka yang mengikuti program BTN mendapat banyak faedah yang tidak ada di tempat lain. Bila mereka mengikuti program BTN baru mereka mengetahuinya. Saya juga mencadangkan agar BTN menambah lagi modal prasarana mereka untuk membolehkan lebih ramai terlibat dan banyak lagi program dapat diadakan,”ujarnya lagi. Tambahnya peranan tersebut pernah dimainkan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) suatu ketika dulu.

Bagaimanapun apabila berlaku pergolakan dalam GPMS, usaha-usaha tersebut terabai. Memandangkan krisis yang berlaku dalam GPMS sudah berakhir, beliau menyarankan agar badan tersebut kembali meneliti pelbagai program yang pernah dilaksanakan di zaman kegemilangan dulu, yang boleh memberi manfaat kepada golongan pelajar hari ini. Dan ianya juga turut sama dimainkan oleh Puteri UMNO Malaysia, yang mana mereka mengadakan pelbagai program kepada pelajar di seluruh negara.

Beliau juga menganggap, Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri adalah satu usaha kembali ke landasan yang betul, yang seharusnya tidak perlu lagi dipertikai oleh mana-mana pihak. Sementara itu Pengarah BTN Pulau Pinang, Mohamad Puzi Haji Hassan berkata, pendidikan adalah penting untuk seseorang pelajar itu maju, kerana tanpanya, mereka tidak mampu pergi lebih jauh dan negara juga tidak akan maju jika rakyatnya tidak berpendidikan.

Katanya, beliau juga disedarkan oleh gurunya bahawa bangsa Melayu akan berjaya melalui pendidikan. Sehubungan dengan itu, usaha diteruskan untuk mengadakan pelbagai program yang bukan sahaja mampu membina jati diri seseorang pelajar tetapi mampu menjana minda mereka ke arah menjadi bakal pemimpin.

Dan bagi mereka yang baru pertama kali mengikuti program yang dianjurkan oleh BTN, asas adalah langkah pertama. Menurut beliau lagi, KBN (Asas), adalah salah satu daripada Program Bina Negara yang paling asas dalam siri KBN. Ianya bertujuan untuk memberi kefahaman kepada peserta tentang patriotisme dari aspek politik, pendidikan, ekonomi dan keselamatan negara.

Selain daripada itu, ianya juga adalah untuk memberi kesedaran tentang peranan diri sendiri dalam pembangunan negara. Tambah beliau lagi, kedua-dua tujuan berkenaan adalah sebagai usaha untuk melahirkan rakyat Malaysia yang patriotik. 

 

| KEMBALI |