| |
MCA rai Pak Lah
PEMIMPIN-pemimpin
masyarakat Cina di parlimen Kepala Batas akan mengadakan pertemuan
dengan Perdana Menteri, menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi
mereka, bertempat di halaman Sekolah Kebangsaan Pei Yu, berhampiran
Kompleks Perniagaan Datuk Kailan pada 16 Disember ini.
Pengerusi MCA Bahagian Kepala Batas, Goh Poh Chuan berkata, pertemuan
tersebut akan diadakan bersempena dengan Majlis Makan Malam Bersama YAB
Perdana Menteri bersama-sama Ahli PIBG Lembaga Sekolah Pei Yu dan
Masyarakat Cina Kepala Batas pada jam 8 malam. Katanya, masyarakat Cina
di Kepala Batas akan terus memberi sokongan yang tidak berbelah bagi
kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, memastikan
bersama parti komponen lain, terutamanya UMNO dan rakan-rakan lain
dalam BN, agar ahli parlimen Kepala Batas itu menang dengan majoriti
lebih besar kalaupun tidak menang tanpa bertanding.
“Masyarakat Cina tiada pilihan lain melainkan akan terus menyokong
Datuk Seri Abdullah. Majlis berkenaan juga sempena 30 tahun Pak Lah
menjadi ahli parlimen Kepala Batas. Tahun hadapan beliau genap 30 tahun
berkhidmat kepada masyarakat Kepala Batas, kami buat majlis lebih
awal,” ujarnya sambil menambah sokongan tidak berbelah bagi juga akan
diberi kepada ketiga-tiga ADUN yang dipilih oleh Perdana Menteri.
Tambahnya, masyarakat Cina juga turut berbangga kerana Perdana Menteri
telah membawa banyak kemajuan di Kepala Batas, membangunkannya sebagai
sebuah pekan moden, Lembah Bertam. Dan berharap ianya akan terus
dikekalkan untuk dinikmati bersama seluruh rakyat.
|
KEMBALI | |
|